Connect with us

Trending MY

(HIBURAN) SAINGAN PERTAMA KURANG MENYENGAT

Hiburan

(HIBURAN) SAINGAN PERTAMA KURANG MENYENGAT

Petaling Jaya, 2 Februari 2016 – Menari sambil menyanyi, kelainan yang ditonjolkan oleh Mya (Nurul Amira Bt Mat Nasir, 20), protégé kepada Hazama menerusi lagu rancak “Ikut Rentakku” ternyata berhasil apabila dia telah diumumkan sebagai juara mingguan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 1000.

Bagi Fareez (Muhammad Fareez Hazwan, 18) dan Han (Muhammad Afeeq Farhan, 20) yang menduduki tangga paling corot boleh tarik nafas lega apabila tiada penyingkiran dilakukan pada persembahan yang lepas. Namun, mereka perlu lebih fokus dalam saingan seterusnya bagi membuktikan kemampuan masing-masing supaya terus kekal di gelanggang Mentor Milenia.

Konsert mingguan Mentor Milenia yang berlangsung pada 31 Januari itu merupakan battle pertama di mana Nuri & Zetty (Azlan), Qody & Wanie (Black), Fareez & Mya (Hazama) dan Han & Ebba (Akim) berentap untuk meraih undian daripada juri awam dan juga penonton.

Suasana studio dihangatkan dengan persembahan pembukaan oleh Akim & The Majistret, pemenang Juara Lagu 30 dengan rangkaian lagu Mewangi dan Potret. Selepas itu, penonton dihiburkan dengan persembahan daripada para protege iaitu Wanie (Hanya Satu oleh Nora), Fareez (Wanita Seluruh Dunia oleh Projek Pistol), Han (Kasih Latifah oleh Spider), Zetty (Putus Terpaksa oleh Ziana Zain), Qody (Pada Syurga Di Wajahmu oleh Nash), Mya (Ikut Rentakku oleh Jaclyn Victor), Nuri (Mengapa oleh Nicky Astria), Ebba (Keliru oleh Nurul & Ajai) serta persembahan penutup oleh semua protege menerusi lagu tema filem Diwale, Janam Janam.

 

 

Muhamad Sufian Isa, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia berkata, “Saingan pertama Mentor Milenia pada hari Ahad yang lepas dilihat kurang menyengat apabila ada protege yang gagal memberikan impak besar. Kami memahami tekanan yang dialami oleh protege yang baru mahu belajar bertatih dalam industri ini. Jadi, tiada penyingkiran dilakukan kerana kami mahu memberikan peluang kedua bagi mereka untuk memperbaiki kelemahan. Selain bersandarkan bakat, para protege perlu memiliki ketahanan fizikal dan mental yang kental bagi mengharungi tempoh pertandingan ini. Kami mengharapkan persembahan yang lebih mantap di saingan akan datang.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, program Mentor kini dianggap nadi utama program realiti di TV3 khususnya dan tempatan pada amnya. Lebih membanggakan, Mentor Legend telah dinobatkan sebagai Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2015. Selepas tujuh musim, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia yang membariskan Akim, Azlan, Black dan Hazama sebagai barisan mentor.

Berlainan dengan musim-musim sebelum ini, Mentor Milenia menampilkan empat artis popular yang merupakan idola golongan muda untuk memberikan tunjuk ajar berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Terkenal dengan kekuatan vokal dan sentiasa memukau penonton ketika beraksi di pentas, mereka jelas mempunyai kualiti untuk menyandang tanggungjawab sebagai mentor.

Malahan, mereka juga bukanlah nama asing dalam industri hiburan dan pernah melayakkan diri bertanding di anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam industri hiburan sehingga berjaya dalam usia muda boleh dijadikan sumber inspirasi kepada anak muda yang berazam untuk berjaya seperti mereka.

Mentor Milenia akan bersiaran sebanyak sembilan episod dan dikendalikan oleh Issey Fazlisham dari kumpulan Titan dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara. Mentor Milenia juga memaparkan kelainan daripada musim-musim sebelumnya apabila keempat-empat mentor ini menjadi pengkritik tetap di setiap konsert mingguan.

Program ini tidak akan mempunyai panel juri profesional kerana keputusan persembahan para protege terletak kepada jumlah undian daripada juri awam di studio iaitu sebanyak 30% dan 70% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia (www.tv3.com.my/mentormilenia). Protege yang gagal meraih jumlah undian tinggi akan disingkirkan. Di peringkat akhir nanti, Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.

Lebih mengujakan, Mentor Milenia dipancarkan oleh Pamoga Qu Puteh selaku Penaja Utama manakala Tonton sebagai Geng Digital, Hot FM sebagai Geng Radio dan Harian Metro sebagai Geng Media.  

Sidang produksi Mentor Milenia diketuai oleh Muhamad Sufian Isa sebagai Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) sebagai penerbit. Mentor Milenia ini turut menampilkan Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok-U sebagai pengarah muzik.

Mentor Milenia bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.00 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 9.30 pagi). Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul  6.02 petang.

Layari laman web rasmi www.tv3.com.my/mentormilenia serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Gunakan hashtag #MentorMilnenia untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial. Penonton yang terlepas menyaksikan program ini juga boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Berikut ialah senarai mentor dan protege:

 

Continue Reading
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More in Hiburan

To Top